Thursday, December 24, 2015

Malam Kalimah Cinta bersama Opick Memukau Para Penonton di Istana Budaya

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Sempena Maulidur Rasul, Mask Team dan Indigital Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya telah mempersembahkan Malam Kalimah Cinta yang menampilkan Opick dan Hafiz Hamidun bermula 23 Disember 2015 hingga 25 Disember 2015.


Malam tadi, 23 Disember 2015, Pentas Panggung Sari telah diserikan dengan alunan lagu-lagu indah hasil nyanyian Opick, Siti Nordiana dan Ronnie Hussein di malam pertama Malam Kalimah Cinta. Mengambil keberkatan bersempena dengan sambutan Hari Maulidur Rasul, persembahan yang berdurasi selama 90 minit ini turut menampilkan elemen zikir dan berselawat serta dipenuhi dengan pertunjukkan multimedia dan efek khas yang sangat menarik.

Credit photo to Istana Budaya

Opick tampil membuka pentas dengan lagu medley Tafakur dan Ya Nabi Salam. Persembahan Opick telah diiringi dengan kumpulan muzik yang dibawakan khas dari Indonesia iaitu "Tombo Ati". Sebanyak 23 buah lagu yang berunsurkan ketuhanan dan selawat ke atas Rasulullah SAW telah dipersembahkan termasuklah lagu duet Opick dengan Siti Nordiana dan Ronnie Hussein.


Panggung Sari menjadi semakin meriah setibanya giliran juara GegarVaganza musim kedua keluar mengambil tempat di atas pentas. Siti Nordiana telah mendendangkan dua buah lagu secara duet dengan Opick. Menurut Nana, peluang membuat persembahan bersama Opick merupakan satu pengalaman yang sangat berharga memandangkan beliau turut meminati penyanyi Opick. Antara sebab yang membuatkan Nana meminati Opick adalah kesungguhan dan keikhlasan Opick dalam setiap lagu yang dihasilkan dan didendangkannya.

Credit photo to Istana Budaya

Keindahan Malam Kalimah Cinta diwarnai lagi dengan penampilan Ronnie Hussein, penyanyi yang sudah terbukti dengan kemampuan dan kelunakkan vokalnya. Peluang menyampaikan dua buah lagu, Ronnie sangat berterima kasih kepada Mask Team dan Indigital kerana membuka peluangnya untuk berkongsi pentas bersama penyanyi yang cukup disegani di Indonesia dan Malaysia.


Di akhir konsert, Opick berharap semua penonton yang hadir akan berasa puas dan terhibur dengan persembahan yang diberikan olehnya, Nana dan juga Ronnie. Pada malam tersebut para penonton turut diajak sama-sama berselawat dan memuji Rasulullah SAW.

"Meskipun hanya 1 malam, sambutan dan energi yang diberikan oleh penonton, benar-benar membantu menaikkan lagi semangat Opick".


Malam Kalimah Cinta akan diteruskan dengan persembahan oleh Hafiz Hamidun dan Lah Ahmad pada 24 dan 25 Disember 2015.

Tiket-tiket boleh didapati di AirAsia RedTix menerusi laman web redtix.airasia.com atau di Kaunter Box Office Istana Budaya. Sebahagian hasil jualan tiket akan didermakan kepada Tabung Kebajikan Generasi Bersatu Malaysia untuk aktiviti amal di seluruh negara.

Marilah memeriahkan Malam Kalimah Cinta sambil beramal.

~Achik~

No comments:

Post a Comment